Daripada Ummu Salamah, katanya: “Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Adakah wanita di dunia lebih baik atau bidadari?” Jawabnya Baginda SAW: “Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin.” Aku bertanya lagi: “Wahai Rasulullah! Bagaimanakah itu?” Baginda SAW menjawab: “Dengan solat, puasa dan ibadah mereka kepada Allah, Allah akan memakaikan muka-muka mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera yang berwarna putih, berpakaian hijau dan berperhiasan kuning…” – Riwayat At-Thabrani.
Sungguh mulia dan sempurna seorang perempuan solehah itu, tarafnya di sisi Allah SWT lebih tinggi daripada bidadari, malahan bidadari hanyalah ibarat gundik-gundik yang mengiringi setiap pergerakannya.
Seringkali orang bertanya, kenapa perlu adanya bidadari di syurga, sedangkan perempuan solehah itu sudah cukup mempesona, sudah cukup sempurna?
Sebenarnya, bidadari-bidadari syurga hanyalah memainkan peranan sebagai penyerlah kecantikan perempuan solehah tersebut. Bayangkan sebuah bintang yang bersinar paling gemerlap di langit, mana mungkin terserlah kecantikannya tanpa bintang-bintang lain yang kurang bersinar di sekeliling. Mana mungkin terserlah kecantikannya jikalau hanya bintang tersebut satu-satunya yang ada di langit. Samalah juga dalam hal ini, perempuan solehah di syurga akan terserlah kecantikannya dengan hadirnya bidadari-bidadari di sekelilingnya.
BAGAIMANAKAH YANG DIKATAKAN PEREMPUAN SOLEHAH?
Seorang gadis kecil berkata kepada ayahnya: “Wahai ayahku, aku ingin sekali menjadi perempuan solehah. Bagaimanakah perihal perempuan solehah itu?”
Si ayah pun menjawab: “Wahai anakku, seorang perempuan solehah itu bukan dilihat daripada kecantikan dan keayuan wajahnya semata-mata. Wajahnya hanya memainkan satu peranan yang teramat kecil. Akan tetapi, perempuan solehah dilihat daripada kecantikan dan ketulusan hatinya yang tersembunyi di dalam dada. Itulah perempuan yang terbaik.”
Sambung si ayah lagi: “Anakku, seorang perempuan solehah bukan dilihat daripada bentuk tubuh badannya yang mempesona, tetapi dilihat daripada sejauh mana ia menutup bentuk tubuhnya yang mempesona itu. Perempuan solehah bukanlah dilihat daripada sebanyak mana kebaikan yang diberikannya, tetapi daripada keikhlasan hatinya ketika ia memberikan segala kebaikan itu. Perempuan solehah bukan dilihat daripada seberapa indah lantunan suaranya, tetapi dilihat daripada apa yang sering mulutnya bicara. Perempuan solehah bukan dilihat daripada keahliannya berbahasa, tetapi daripada bagaimana ia bicara dan hujah kebenaran di sebaliknya.”
“Lalu apa lagi ayah?” Sahut puteri kecil itu, dengan perasaan ingin tahu yang tidak berbelah bagi.
“Ketahuilah puteriku, perempuan solehah itu bukan dilihat daripada keberaniannya memakai pakaian yang grand, tetapi dilihat daripada sejauh mana ia berani mempertahankan kehormatannya melalui apa yang dipakainya. Perempuan solehah bukan dilihat daripada kekhuatirannya digoda orang di tepi jalanan, tetapi dilihat daripada kekhuatirannya bahawa dirinyalah yang mengundang orang tergoda. Perempuan solehah bukan dilihat daripada seberapa banyak dan besarnya ujian yang ia hadapi, tetapi dilihat daripada sejauh mana ia menghadapi ujian itu dengan penuh rasa redha dan kehambaan kepada TuhanNya, dan ia sentiasa bersyukur dengan segala kurniaan yang diberikan.”
Si puteri kecil mengangguk-angguk tanpa faham.
“Dan ingatlah wahai puteriku,” sambung si ayah lagi. “Perempuan solehah bukan dilihat daripada sifat mesranya dalam bergaul, tetapi dilihat daripada sejauh mana ia mampu menjaga kehormatan dirinya dalam bergaul.”
Si anak terus bertanya, “Wahai ayahku, siapakah yang memiliki sifat-sifat tersebut? Bolehkah saya menjadi sepertinya? Mampukah dan layakkah saya untuk berada di syurga nanti?”
Si ayah mengangguk-angguk sambil menggosok-gosok kepala puterinya. “Ya, anakku. Sesiapa sahaja boleh memilikinya. Nabi Muhammad SAW, rasul junjungan telah bersabda bahawa apabila seorang perempuan itu menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam syurga dari pintu-pintu yang ia kehendakinya (riwayat Al-Bazzar).”
NILAI SEORANG PEREMPUAN SOLEHAH
Apakah nilai seorang perempuan solehah? Berapakah harganya di sisi Allah SWT? Jawab Al-Khawarizmi, pakar Matematik Islam:
Jika wanita solehah dan beragama = 1
Jika dia cantik, tambah 0 kepada 1 = 10
Jika dia kaya, tambah lagi 0 = 100
Dan jika dia dari keluarga baik-baik, tambah lagi 0 = 1000
Tetapi jika yang ’1′ tiada…
Maka, tiada apa yang tersisa pada wanita tersebut kecuali sekelompok ‘0’.
Dapatlah disimpulkan di sini bahawa nilai perempuan solehah itu terlampau berharga, sehinggakan kecantikan, kekayaan dan keturunannya tidak akan dilihat sama sekali tanpa keimanan dan kepatuhan kepada Allah SWT.
Wahai perempuan solehah, ketahuilah bahawa,
- Engkau memang cantik selagi kau menutup malu,
- Engkau memang cantik selagi kau memelihara adab,
- Engkau memang cantik selagi kau menjaga aurat,
- Engkau memang cantik selagi kau menjaga batas,
- Engkau memang cantik selagi kau waras berhias,
- Engkau memang cantik selagi kau bersifat fitrah,
- Engkau memang cantik selagi kau pantang menyerah,
- Engkau memang cantik selagi kau terus bersolat,
- Engkau memang cantik selagi kau lurus bertaubat,
- Engkau memang cantik selagi kau jujur berilmu,
- Engkau memang cantik selagi kau taat suami,
- Engkau memang cantik selagi kau membaca Al-Qur’an,
- Engkau memang cantik selagi kau beradab sopan,
- Engkau memang cantik selagi kau kasih ibu bapa,
- Engkau memang cantik selagi kau mendidik keluarga,
- Engkau memang cantik selagi kau sabar & tenang,
- Engkau memang cantik selagi kau tegakkan Islam,
- Engkau memang cantik selagi kau mencegah kemungkaran,
- Engkau memang cantik selagi kau berniatkan Tuhan,
- Engkau memang cantik kerana kau seindah Islam!