- Back to Home »
- Pengorbanan..
Posted by : Murabbi Al-Absar Consultant
Tuesday, 15 October 2013
Selawat atas junjungan Muhammad S.A.W...
KISAH PENGORBANAN NABI ALLAH ISMAIL A.S DALAM MENTAATI KEHENDAK ALLAH YANG MAHA KUASA DAN JUGA MENTAATI BAPANYA NABI IBRAHIM A.S.
Pada suatu ketika, sewaktu Nabi Ismail meencapai usia remajanya, Nabi Ibrahim a.s mendapat mimpi bahawa dia harus menyembelih Ismail, puteranya. Dan kerana impian seorang Nabi adalah salah satu dari cara-cara turunnya wahyu Tuhan, maka perintah yang diterimanya dalam mimpi harus dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim a.s. Dia duduk sejurus termenung memikirkan ujian yang maha berat terpaksa dihadapi. Sebagai seorang ayah, Nabi Ibrahim a.s dikurniai seorang putera selepas betahun-tahun lamanya diharap-harapkan dan didamba-dambakan, seorang putera yang telah mencapai usia di mana jasa-jasanya sudah dapat dimanfaatkan oleh si ayah, seorang putera yang diharapkan menjadi pewarisnya dan penyambungan kelangsungan keturunannya, tiba-tiba harus dijadikan kurban dan harus direnggut nyawanya oleh tangan si ayah sendiri.
Sebagaimana disebutkan dalam Al-Quran surah as-Saafat (37:102) bermaksud:
"Maka tatkala anak itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) sanggup berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Wahai anakku! sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!" Dia (Ismail) menjawab: "Wahai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu; dengan kehendak Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar."
Subhanallah!, betapa mulianya hati seorang hamba Allah yang sanggup melakukan apa sahaja demi mentaati perintah Allah.
Sampai waktunya, perintah Tuhan ini dilaksanakan ayahnya Nabi Ibrahim a.s, dan anaknya Nabi Ismail a.s pun patuh melaksanakan perintah itu. Di kala perintah itu sedang di jalankan, iaitu di waktu Ismail akan disembelih, Allah berfirman sebagaimana disebut dalam Al-Quran bermaksud:
(37:104-107)
"Lalu kami panggil dia: "Wahai Ibrahim! # Sesungguhnya engkau telah membenarkan mimpi itu. " Sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang yang berbuat baik. # Sesungguhnya ini benar-benar satu ujian yang nyata. # Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar."
Demikianlah gambaran ketinggian dan ketaatan Nabi Ismail dalam melaksanakan perintah-perintah Allah, walaupun jiwa dan raganya diserahkan kepada Tuhan, jika memang itu perintah Allah SWT. Bagi sesiapapun yang taat dan patuh akan perintah-perintah Allah dengan tulus dan ikhlas semata-mata kerana Allah, Allah pasti akan memberikan pahala dan keselamatan serta kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sesungguhnya benarlah kata-kata Allah Ynag Maha Agung.
Dan inilah asal permulaan sunnah berkurban yang dilakukan oleh umat islam pada tiap-tiap hari raya Aidiladha di seantero dunia.
RENUNGI DENGAN MATA HATI
BERFIKIR DENGAN AKAL KURNIAAN ILLAHI
rujukan: Kisah hidup 25 Nabi & Rasul
Muhammad Abdul Wahab