Posted by : Murabbi Al-Absar Consultant Tuesday, 29 October 2013




"Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian dia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".
                                           [maksud al Quran surah An-Nisa ayat 100] 
3 Catatan Berkaitan Sejarah Penggunaan Takwim @ Kalendar Hijrah Dan Hijrahnya Rasulullah SAW 





Ali Bin Abi Thalib r.a Mencadangkan Peristiwa Hijrah Nabi SAW Sebagai Asas Tahun Islam.

1) Takwim Hijrah ialah kalendar yang berdasarkan bulan qamari dan disebut juga takwim atau kalendar Islam. Ia mengandungi 12 bulan iaitu Muharam, Safar, Rabiulawal, Rabiulakhir, Jamadilawal, Jamadilakhir, Rejab, Syaaban, Ramadan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijah. Dikatakan bahawa orang yang mula-mula menamakan bulan-bulan ini ialah Ka’ab ibn Murrah, datuk kelima Rasullullah SAW.

Orang Arab sebelum Islam menggunakan tahun Qamariyah sejak zaman dahulu. Walau agaimanapun mereka hanya merekodkan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada masa tersebut. Umpamanya ialah tarikh pembinaan Kaabah pada zaman Nabi Ibrahim dan Ismail a.s (pada tahun 1855 S.M) dan tahun Gajah iaitu tahun yang paling masyhur (bersamaan dengan tahun 571 M). Namun sejarah yang dicatatkan tidak mengikut kaedah yang tetap di kalangan seluruh bangsa Arab, mereka menulis mengikut cara masing-masing, iaitu mengikut perbezaan tempat tinggal, sama ada di utara atau di selatan, bahkan perbezaan menulis tarikh juga berbeza dengan adanya perbezaan qabilah. Oleh itu takwim qamari pada zaman jahiliyah bukanlah takwim yang boleh dipegang teguh untuk digunakan di dalam kehidupan manusia.

Selepas berdirinya negara Islam pada zaman Rasullullah SAW, tahun Qamariyah masih diteruskan tetapi tidak ditetapkan tahun-tahunnya. Oleh itu kaum muslimin memberi nama tahun-tahun itu dengan nama peristiwa besar yang terjadi di dalamnya. Antaranya ialah tahun pertama (Tahun al-Izn) iaitu izin hijrah dari Mekah ke Madinah, tahun kedua (Tahun al-Amr) iaitu tahun diperintahkan memerangi kaum musyrikin dan akhirnya tahun kesepuluh yang dikenali sebagai tahun al Wa da' iaitu tahun haji al-Wada’ atau haji terakhir yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.

Peristiwa semasa pemerintahan khalifah Umar bin al-Khattab merupakan titik tolak perubahan takwim hijrah. Khalifah Umar telah mengumpulkan beberapa orang sahabat pada hari Rabu 20 Jamadilakhir tahun 17 Hijrah bagi menentukan tarikh yang patut diambil sebagai permulaan tahun Islam.
Dalam perbincangan itu pendapat Ali ibn Abi Talib diterima dgn mengemukakan cadangan supaya menjadikan peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dan umat Islam dari Mekah ke Madinah sebagai permulaan tahun Islam dan mereka juga bersetuju dengan pandangan Uthman menjadikan Muharam sebagai bulan pertama dalam sejarah Islam.

Awal Muharam tahun berlakunya peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dan umat Islam diambil sebagai permulaan tarikh Islam sekalipun hijrah Nabi SAW tidak bermula dan berakhir pada hari itu, kerana sebenarnya hijrah Nabi SAW bermula pada akhir bulan Safar dan Baginda SAW sampai ke pinggir Madinah pada hari Isnin, kemudian masuk ke Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiulawal.

2) Di dalam Sirah Nabawiyah oleh Ibnu Hisyam menyebut Ibnu Ishak berkata bahawa, orang yang pertama sekali berhijrah ke Madinah dari kalangan sahabat Rasullah SAW dari Quraisy dari Bani Makhzum adalah Abu Salamah bin Abdul Asad bin Hilal bin Abdullah bin Umar bin Makhzum. Ia berhijrah ke Madinah setahun sebelum berlaku perjanjian Aqabah.

Dari Ibnu Ishak, Ibnu Hisyam berkata Rasullah SAW menetap di Quba di penempatan Bani Amru bin Auf pada hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Baginda SAW telah mengasaskan pembinaan Masjid Quba. Allah mengeluarkan Rasulullah SAW dari kaum Ansar di Quba pada hari Jumaat. Rasulullah telah mendapat perintah untuk solat Jumaat sewaktu baginda berada di perkampungan Bani Salim bin Auf ia itu di lembah Ranuna. Itulah solat Jumaat pertama Baginda di Madinah.

3) Sementara itu Muhammad Husain Haekal dalam bukunya Sejarah Hidup Muhammad (SAW) menulis, dalam pada itu Rasulullah SAW sudah berada di Quba, dua farsakh jauhnya dari Madinah. Empat hari Nabi SAW tinggal di tempat itu, ditemani oleh Abu Bakr. Selama masa empat hari itu masjid Quba telah dibangunkan. Sementara itu datang pula Ali b. Abi Talib ke tempat itu setelah mengembalikan barang-barang amanat yang dititipkan kepada Nabi Muhammad SAW kepada pemilik-pemiliknya di Mekah.

Setelah itu ia sendiri meninggalkan Mekah menempuh perjalanannya ke Yathrib (nama lama Madinah) dengan berjalan kaki. Malam hari ia berjalan, siangnya bersembunyi. Perjuangan yang sangat meletihkan itu ditanggungnya selama dua minggu penuh, iaitu untuk menyusul saudara-saudara seagamanya berhijrah ke Madinah. Sumber/ubahsuai : AbuRedza


Leave a Reply

Diharap kepada pengunjung agar dapat menjaga tatasusila dan menghormati pengunjung yang lain.

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

- Copyright © Murabbi Al-Absar Consultant - Skyblue - Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -